Assalamualaikum w.b.t. Salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 UiTM.

Selamat datang waghih ke Kampus Rembau!

Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau telah siap dibina melalui strategi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan beroperasi secara rasminya pada 1 Februari 2017. Ini adalah kampus PFI terbaru dibawah rangkaian Kampus UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang menempatkan tiga fakulti iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) dan Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP).

Dengan dilengkapi infrastruktur yang baik, bangunan yang bercirikan senibina moden dan paling menarik prasarana pembelajaran yang serba canggih yang memenuhi kehendak industri dan kriteria silibus pelajaran terkini di setiap fakulti; kampus Rembau juga menawarkan suasana luar bandar tranquil, jauh daripada hiruk-pikuk kota sekaligus dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada para pelajar.

Antara lain kelengkapan fasiliti 'peralatan khas' khususnya di FKPM seperti studio TV, studio hybrid berita, studio radio, studio animasi, bilik suntingan AV, mini teater disamping kemudahan lain seperti Pusat Islam, Pusat Kesihatan, Perpustakaan sebagai contoh adalah disediakan bagi melahirkan graduan UiTM yang lebih berkualiti sejajar dengan teras kerajaan dalam memacu Transformasi Nasional 2050 (TN 50) untuk mencapai sistem pendidikan terulung bagi kaum Bumiputra.

Justeru, apa yang saya harapkan dengan tersedianya segala kemudahan-kemudahan ini ia dapat dimanfaatkan setiap warga kampus khususnya para pelajar agar kebolehpasaran graduan UiTM terutama daripada kampus Rembau lebih berdaya saing, berinovasi dan berkualiti baik dari segi akademik dan pencapaian kokurikulum.

Dalam memastikan falsafah UiTM tercapai dan selari dengan dasar-dasar utama kerajaan, pembangunan laman web kampus Rembau adalah bertepatan pada masanya dan diharap dapat menyediakan platform terbaik bagi penyaluran maklumat yang tepat dan terkini bagi semua.

Akhir kalam, saya doakan agar segala usaha yang dicurahkan kearah mengangkat martabat UiTM untuk menjadi universiti bertaraf dunia menjadi realiti.

 

 

Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah

Penolong Rektor

UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

FB: Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau